MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS

14 Mei 2009

AYAT DASAR

POLA AYAT DASAR DAN FRASA

Pola ayat dasar merupakan sumber kepada pembentukan ayat-ayat dalam Bahasa Melayu. Ayat dasar juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat inti. Terdapat empat pola ayat dasar berdasarkan unsur-unsur binaan ayat:

 

FN+FN ; FN+FK ; FN+FA ; FN+FS

 

Frasa

Frasa ialah unit tatabahasa yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya satu atau dua perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih.
Frasa menjadi subjek atau predikat dalam binaan ayat serta menjadi konstituen  atau binaan kepada klausa.
Frasa terbahagi kepada empat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama
Dalam setiap frasa ada perkataan yang yang dikenali sebagai inti frasa, iaitu perkataan yang paling penting dalam frasa. Contoh (berdasarkan Pola FN+FN) :

Kakak saya seorang pramugari = Kakak pramugari

Di sini ‘kakak’ dan ‘pramugari’ adalah inti frasa kepada kedua-dua pola tersebut.

 

Jenis perkataan yang menjadi inti frasa menentukan sama ada ia menjadi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama.


1)    Frasa Nama (FN)

Frasa nama yang terbentuk daripada sederetan perkataan mempunyai dua jenis hubungan antara perkatan-perkataan ini :

a)    inti & penerang

Contoh : Guru sekolah menengah itu sedang menasihati murid-muridnya (FN+FK)

                  Guru à inti ; sekolah menengah itu à penerang

b)    inti & inti.

Contoh : Ibu bapa perlu mendidik anak (FN+FK)

                  Ibu à inti ; bapa à inti.

 

Dalam binaan frasa nama, penyusunan setiap konstituen amat pentng untuk menentukan sama ada frasa nama itu digunakan dengan betul atau tidak. Oleh itu, peraturan Hukum D-M, penggunaan kata bilangan serta panggilan dan penerang mestilah sesuai dalam frasa nama.

 

Hukum D-M ialah Hukum Diterang (D) dan Hukum Menerang (M). Dalam frasa nama, unsur inti yang berada pada kedudukan pertama adalah unsur diterangkan, dan pada kedudukan kedua merupakan unsur menerangkan.

 Contoh :  Guru bahasa  ;  Guru à inti / (D)

                                          bahasa à penerang /(M)

Hukum D-M mempunyai beberapa kekecualian, antaranya ialah jawatan tertentu yang biasa digunakan seperti Perdana Menteri (sepatutnya Menteri Perdana) dan naib presiden (sepatutnya presiden naib).


2)    Frasa Kerja (FK)

Frasa kerja terbina daripada satu perkataan sahaja (iaitu terdiri daripada kata kerja tak transitif) atau sederetan perkataan yang menjadi unsur predikat dalam ayat. Binaan frasa kerja terbahagi kepada dua :

a)    Frasa kerja yang tidak mengadungi obejk dan tidak memerlukan kata nama sebagai penyambung untuk melengkapkannya. Kata kerja di sini ialah kata kerja tak transitif.

Contoh : Adik menangis (FN+FK)

b)    Frasa kerja yang mengandungi objek selepas kata kerja untuk melengkapkan frasa ini. Kata kerja di sini ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek yang terdiri daripada kata nama. Objek berkenaan boleh diikuti oleh penerang.

Contoh : Saya menangkap burung gagak di hutan. (FN+FK)  ; di sini :

                  burung gagak à objek

                  di hutan à penerang


3)    Frasa Adjektif (FA)

Frasa adjektif boleh terbina daripada satu perkataan atau sederetan perkataan yang mengandungi kata adjektif sebagai inti. Frasa adjektif adalah unsur predikat dalam binaan ayat atau sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat, yang hadir selepas kata kerja. Manakala sebagai kata penerang, kata adjektif hadir selepas kata nama.
Binaan frasa adjektif yang terdiri daripada satu perkataan sahaja adalah seperti malas, muram, dan kosong. Frasa adjektif juga boleh dibahagikan kepada dua golongan :

a)    Kombinasi dua kata adjektif yang menekankan beberapa unsur:

-          keserasian makna. Contoh  : cantik molek, penat lelah

-          makna berlawanan. Contoh : baik buruk, kecil besar

-          keindahan bunyi ritma. Contoh : lemah longlai, kusut masai

b)    Binaan frasa adjektif yang terdiri daripada kata adjektif sebagai inti dan kata nama sebagai penerang. Ia membawa dua maksud

-          keserupaan. Contoh : merah darah , hijau daun

-          kiasan. Contoh : panjang tangan, besar kepala

 

Dalam frasa adjektif, kata penguat boleh hadir dalam beberapa keadaan:

a)    Di hadapan : paling degil, amat bijak

b)    Di belakang : murah sekali, cepat benar

c)    Secara bebas : amat cantik, cantik amat.

d)    Secara berderetan : sungguh berani sekali, belum cerdik lagi

 

Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif hadir sebagai predikat, sebagai kata keterangan selepas kata kerja dan penerang selepas frasa nama. Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif boleh mengalami susunan songsang. Contoh :

Rumah Ani amat besar sekali  à Amat besar sekali rumah Ani

 

4)    Frasa Sendi Nama (FS)

Frasa sendi nama ialah binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Dalam binaan ayat biasa, frasa sendi nama menjadi predikat dalam ayat.

 

Frasa sendi nama boleh dibentuk melalui empat cara :

a)    Sendi nama dan frasa nama. Contoh : di pasar

b)    Sendi nama, kata nama arah dan frasa nama. Contoh : di tepi pasar

c)    Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan ayat komplemen. Contoh : ke dalam hutan untuk menangkap rusa.

(binaan ketiga ini memperlihatkan kita bahawa unsur kata nama arah dan ayat komplemen merupakan unsur pilihan)

d)    Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan frasa keterangan. Contoh : di selatan negeri China pada tiap-tiap bulan.

(binaan keempat ini memperlihatkan unsur keterangan bersifat pilihan)

 

 

0 ulasan: